Sejak awal
ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. Jadi, saya rasa
kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai solat, dia solat lagi.
Kemudian tafakur atau berzikir.
Tak lama
kemudian, terus membaca Al Quran. Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa
lama dia dalam keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang
beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas,
saya akan singgah di mana-mana masjid untuk iktikaf sambil melaksanakan
tugasan atau menulis seadanya.
Beberapa
lama kemudian, tanpa saya sedari dia sudah berada di sebelah saya. Setelah
saling bersalaman, menegur dan takruf, kami mula berbual.
“Apa yang
ustaz tulis dalam blog baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah
suram. Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB
saya.
“Entri yang
mana?” tanya saya pinta kepastian.
“Tajuknya,
ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.”
“Mengapa?”
“Isteri
saya telah meninggalkan rumah kami kerana memburu cinta barunya!”
Saya
benar-benar terkejut. Bayangkan, lelaki yang berada di hadapan saya sekarang
bukan muda. Dia telah berusia. Malah lebih tua daripada saya. Sejak awal
perbualan kami dia telah memaklumkan usianya… 65 tahun! Dalam hati saya sudah
terbayang, ini mesti kes isteri muda meninggalkan suami tua.
“Berapa
umur isteri tuan?” tanya saya untuk mendapat kepastian.
“53 tahun,”
jawabnya. Saya tambah terkejut. Wah, ini luar biasa. Cinta baru ‘orang lama’.
“Dia
terpaut dengan teman sepejabatnya. Dia menuntut fasakh daripada saya sejak
setahun lalu.”
“Alasannya?”
“Penderaan
mental!”
Saya
terdiam. Bunyi kipas di dinding masjid itu sahaja yang menemani kami. Sepi.
Sungguh sunyi… rumah Allah pada waktu-waktu begini. Mungkin, sesunyi hati
seorang lelaki yang kehilangan cintanya.
“Tuan tidak
melepaskannya?”
“Tidak
akan. Saya akan terus bertahan. Walaupun sekarang menuntut cerai di mahkamah
dan telah pun lari dari rumah.”
“Subhanallah!”
saya terpaku kaku menghadapi realiti rumah tangga masa kini. Sangat ‘daring’
rupanya karenah manusia yang bercinta. Benarlah seperti yang pernah saya
tuliskan dulu: Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, cinta adalah satu kuasa
luar biasa yang tidak ada tandingannya. Sayangnya, ‘kuasa luar biasa’ itu
sering disalah gunakan. Kuasa yang luar biasa itu sering membawa kemusnahan.
Media massa melaporkan betapa ramai remaja wanita Melayu paling ramai lari dari
rumah mengikut kekasih hati, lahirnya ramai anak luar nikah angkara cinta zina,
bayi dibuang merata-rata akibat cinta terlarang… dan kini, cinta telah
meruntuhkan rumah tangga manusia yang telah bergelar datuk dan nenek.
“Apa yang
boleh saya buat ustaz? Pujuk telah dipujuk. Marah sudah dimarah. Namun dia tidak
mahu kembali…”
“Selalu ke
masjid macam ni?” kilas saya untuk memberi ruang pada diri untuk merasa dan
berfikir. Ini bukan soalan mudah. Tetapi ia menagih empati tahap tinggi
yang benar-benar terpantau dari dalam hati nurani yang paling suci. Sesungguhnya,
saya tidak mampu.
“Sejak
akhir-akhir ini, beginilah saya ustaz. Harta walaupun tidak lumayan tetapi
sudah dikira lebih daripada cukup. Saya tak perlu bekerja lagi. Semua cukup.
Segala-galanya berjalan dengan baik sekiranya tragedi ini tidak menimpa…” keluhnya.
“Mengapa
tiba-tiba ini terjadi?” soalnya lagi.
“Allah
takdirkan segala-galanya untuk kita kembali kepadaNya. Saya rasa inilah
jawapannya pada soalan yang awak tanyakan. Ingat lagi cerita ‘Wak’ dalam entri
itu? Dia kembali kepada cinta Allah. Jangan ada dendam. Jangan ada marah…
walaupun kita rasa ditipu dan dikecewakan. Usahakan kembali untuk mendapat
cintanya, tetapi jika sudah ditemui jalan buntu. Berfikirlah semula… solat
Istikharah, apakah perlu perkahwinan ini diteruskan?”
“Ustaz rasa
patut saya ceraikan dia?”
“Saya tidak
mampu membuat keputusan bagi pihak awak. Awak lebih faham situasi yang sedang
dihadapi. Lagipun saya tidak mendengar daripada pihak yang lagi satu. Mahkamah
yang lebih berhak untuk memutuskannya. Kita sekarang di masjid, untuk mencari
ketenangan bukan mencari keadilan. Ketenangan untuk menghadapi ujian hasil
akrabnya perhubungan dengan Allah – Tuhan yang mengurniakan ujian itu untuk
kita.”
“Apa pesan
ustaz?”
“Pesan saya
ialah pesan yang selalu saya bisikan pada diri saya sendiri… jagalah Allah, Allah
akan jaga kita. Allah lebih besar daripada masalah kita. Pintalah kepada Allah
agar memutuskan sesuatu yang baik buat kita walaupun keputusan itu nanti
mungkin berlawanan dengan apa yang kita inginkan!”
“Saya sepi
ustaz…”
“Kita akan
sepi bila hati kita sepi dengan Ilahi. Bila terpisah dengan Allah, kita akan
sunyi walaupun semua orang yang tersayang masih di sisi. Kita boleh
kehilangan seorang isteri, tetapi kita tidak mampu ‘kehilangan’ Allah dengan
melupakan-Nya.”
“Isteri
saya akan kembali?”
“Itu tidak
pasti. Hati orang… mana mungkin kita menentukannya. Tetapi yang pasti, tuan
telah kembali. Kembali kepada Allah, kembali ke rumahNya ini… hati orang yang
berada di rumah Allah tidak akan sunyi.”
Saya
teringat bagaimana Rasulullah SAW sendiri mengasingkan diri di tingkat atas
masjid Nabawi ketika baginda diuji oleh ragam isteri-isterinya. Begitulah
tawaduknya baginda. Baginda pun kembali kepada Allah sewaktu diuji.
Lantaran itu, Allah telah menurunkan surah Al Tahrim ayat 5, sebagai
penghibur kepada jiwanya. Firman Allah itu bermaksud: “Jika nabi menceraikan
kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih
baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang
mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.
Ya,
kehilangan acap kali menemukan kita kepada sesuatu yang lebih berharga. Itulah
ajaibnya cinta Allah dalam hati hamba-Nya. Hati suami yang mencintai Allah
selamanya tidak akan sunyi. Sekiranya dia benar-benar mencintai Allah, dia akan
tenang, sama ada ketika isteri masih di sisi atau sudah tiada lagi. Justeru,
apabila diuji, kembalilah ke rumah Allah, dan jangan lupakan doa ini: ”Ya
Allah, berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang
mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu. “
Waktu
menghampiri jam 11 tengah hari. Saya terpaksa pergi. Ketika melangkah ke luar
masjid, mata saya sempat melirik ke arah lelaki tersebut. Dia masih duduk
bersimpuh di sana, dengan Al Quran yang terus terbuka di tangannya. Ya
Allah, Kau berikanlah ketenangan buat hatinya yang sunyi. Berikanlah kepadanya
cintaMU yang sejati! Agar, kami tidak menjadi lelaki-lelaki yang sunyi. Amin.
CnP from: genta-rasa
Pssttt..cam kena ngan diri aku..thanks ustaz.. :)
Bila rasa stress,semak balik hubungan kita dengan DIA..
InsyaAllah..ada jalannya..